Saturday 3 December 2011

Economic Transformation Plan Roadmap

Economic Transformation Plan Roadmap
SPEECH BY
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PRIME MINISTER OF MALAYSIA
AT THE LAUNCH OF
ECONOMIC TRANSFORMATION PROGRAM ROADMAP
ON 25TH OCTOBER 2010 (MONDAY), AT 3.00 PM
AT DEWAN MERDEKA,
PUTRA WORLD TRADE CENTRE (PWTC)
———————————————–
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Selamat Petang, Salam Sejahtera Dan Salam Satu Malaysia..

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke Hadrat Ilahi, kerana dengan Limpah dan KurniaNya, maka dapat kita bersama-sama dalam majlis yang penuh bermakna ini. Pada petang ini kita semua akan menjadi saksi kepada satu titik permulaan penuh gemilang dalam kelok pembangunan Negara yang kita cintai ini.  Dua puluh tahun yang lalu, Negara kita telah mengikat janji untuk menunaikan harapan yang bersendikan Wawasan. Wawasan murni ini terbina atas cita-cita rakyat Malaysia untuk membina sebuah Negara yang aman, maju dan berdaulat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2. Kini, cuma sepuluh tahun memisahkan kita dalam perjalanan menuju tarikh keramat, tahun 2020. Kita tidak punya banyak masa. Lantaran itu, saya telah memperkenalkan empat teras strategik untuk menjana transformasi Malaysia bagi meletakkan kita di atas landasan untuk menuju wawasan murni kita bersama.

3. Unsur pertama yang memayungi hala tuju kita adalah gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Konsep ini menyeru kepada perpaduan dan keharmonian, serta mengutamakan maslahah rakyat yang inklusif di samping memastikan tadbir urus yang cekap dan pantas. Inilah Gagasan 1Malaysia: falsafah induk yang memandu hala tuju negara.

4. Seterusnya, saya telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, yang menjadi peta implemantasi bagi meningkatkan prestasi jentera Kerajaan ke arah memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat. Dan pada hari ini, saya akan memperkenalkan pula Program Transformasi Ekonomi dengan tujuan sebagai asas lonjakan yang bakal merubah Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Kesemua program transformasi yang telah saya nyatakan tadi akan didokong oleh unsur keempat, yakni Rancangan Malaysia Ke-10 yang menjadi asas penggerak bagi memacu pelaksanaan kedua-dua program transformasi negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Pertamanya, izinkan saya untuk mengimbas kembali pelaksanaan GTP setakat ini. Program GTP ini lahir hasil daripada kehendak dan keperluan rakyat, di mana enam Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA telah dikenalpasti iaitu: membanteras jenayah; memerangi rasuah; menjulang pencapaian pendidikan; mengangkat taraf hidup isirumah berpendapatan rendah; memperkasa infrastruktur asas luar bandar dan meningkatkan mutu pengangkutan awam bandar. Pada awalnya, ramai yang meragui kemampuan dan kesungguhan Kerajaan. Alhamdulillah pada hari ini, saya amat berpuas hati dan bangga di atas pencapaian keenam-enam NKRA setakat ini. Pada saat kita berbicara tentang transformasi, saya ingin berkongsi pencapaian NKRA dalam tempoh sembilan bulan sejak bermulanya pelaksanaan GTP.

6. Buat pertama kalinya dalam tempoh 3 tahun berturut-turut, indeks jenayah keseluruhannya pada sembilan bulan pertama 2010 telah menurun sebanyak 16 peratus sementara jenayah jalanan menurun sebanyak 38 peratus berbanding tempoh yang sama. Jumlah penumpang Penggunaan LRT telah bertambah dengan ketara sebanyak 2.4 juta orang manakala seramai 54,569 kanak-kanak telah mendapat faedah daripada 1,358 kelas pra sekolah sementara 9,816 sekolah telah diberi penarafan buat pertama kalinya.

7. Bilangan rakyat Malaysia yang terangkum dalam golongan miskin tegar telah berjaya kita kurangkan sebanyak 49 peratus. Dalam usaha Kerajaan untuk memerangi rasuah, 3,716 kontrak kerajaan / awam telah disiarkan kepada orang ramai melalui laman web. Seramai 648 orang telah ditahan atas sebab-sebab rasuah dan 208 orang telah dijatuhkan hukuman. Malah, butiran mereka yang dikenakan hukuman, termasuk nombor Kad Pengenalan dan gambar, telah disiarkan di laman web SPRM. Ini adalah sebagai langkah pencegahan, atau dikenali sebagai Name-and-Shame.

8. Terdapat banyak lagi pencapaian-pencapaian bagi inisiatif-inisiatif NKRA di bawah Program Transformasi Kerajaan. Cukup sekadar apa yang saya sebutkan tadi, untuk menggambarkan betapa GTP telah mula membuahkan hasil, sungguhpun dalam beberapa bulan semenjak ia mula dilaksanakan. NKRA adalah satu perincirian pertama seumpamanya pernah dilakukan secara peringkat nasional. Pelan dan implementasinya dipantau secara teliti dan halus berdasarkan KPI atau target yang telah dikenal pasti.

9. Dengan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada ke enam-enam Menteri yang telah menerajui NKRA tersebut, penjawat-penjawat awam dan PEMANDU, dan saya berharap mereka semua akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjayakan program ini. Pada masa yang sama, harus diingatkan bahawa perjalanan transformasi ini masih di peringkat awal.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Izinkan saya beralih pula kepada hal ehwal ekonomi negara, yang menjadi fokus bagi acara pada hari ini. Kita rakyat Malaysia kini boleh berbangga dengan pencapaian ekonomi negara sepanjang 20 hingga 30 tahun yang lepas. Sedar atau tidak, Negara kita adalah salah satu daripada 13 negara di dunia yang telah berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi melebihi tujuh peratus selama 25 tahun atau lebih, semenjak 1945. Kita bukan lagi negara miskin; pihak Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations) melaporkan indeks kemiskinan kita telah menurun daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 3.8 peratus pada 2009.

11. Pada masa yang sama, kita juga telah berjaya meningkatkan tahap kesamarataan ataupun pengagihan kekayaan di negara kita. Berdasarkan ukuran pekali Gini (Gini coefficient), ketaksetaraan pendapatan negara telah menurun daripada 0.513 pada 1970 kepada 0.441 pada 2009. Di samping itu, pendapatan purata isi rumah telah meningkat daripada RM1,582 pada tahun 1980 kepada RM4,025 pada tahun 2009.

12. Sungguhpun begitu, dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, kita mula menyedari bahawa Malaysia sudah mula berkisar pada takuk ekonomi yang digelar sebagai “the middle income trap”. Oleh yang demikian, kita harus mula beranjak daripada strategi lama yang berdasarkan model ekonomi berintensif buruh. Kita perlu segera mengikuti model ekonomi berasaskan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi supaya kita dapat mengekalkan daya saing dalam ekonomi global yang serba mencabar.

13. Kita tidak punya pilihan; kegagalan untuk mencapai Transformasi bererti kita akan terus hanyut dan terasing, sementara Negara-negara lain di rantau ini akan terus memintas kita.  Bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita memerlukan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tidak kurang daripada enam peratus setahun selama 10 tahun. Kita mesti mengembangkan dan mempertingkatkan aktiviti dan hasil ekonomi kita secara besar-besaran.

14. Dengan cara ini, setiap rakyat dalam negara akan mendapat faedah – sama ada petani di Sarawak mahupun eksekutif perniagaan di Kuala Lumpur – tanpa mengira etnik atau status sosial rakyat. Ini adalah inti pati konsep keterangkuman atau “inclusiveness”, yang mendesak agar tiada satupun rakyat Malaysia yang tercicir daripada arus perdana pembangunan.

15. Bagi menjana Transformasi nasional yang sama-sama kita citakan, saya ingin menyeru sektor swasta untuk memainkan semula peranan mereka sebagai enjin perdana penggerak ekonomi negara. Ini adalah selaras dengan strategi yang telah saya umumkan sebelum ini di dalam Rancangan Malaysia Ke 10. Dengan itu, mungkin ramai tertanya-tanya pada hari ini, bagaimanakah kita, sebagai sebuah Negara, akan mencapai status negara berpendapatan tinggi?

Tuan-tuan dan puan-puan,

16. Pada bulan Mei yang lepas, seramai lebih 1,000 orang daripada sektor awam dan swasta, organisasi bukan Kerajaan dan masyarakat umum telah berkumpul di dalam satu bengkel untuk mencapai satu kata sepakat. Mereka telah mengenalpasti 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (atau NKEA) yang mengandungi projek yang spesifik dan mantap untuk mengerakkan negara ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

17. 12 NKEA yang di kenal pasti adalah Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit; Perkhidmatan Kewangan; Pemborongan dan Peruncitan; Pelancongan; Perkhidmatan Perniagaan; Elektrikal dan Elektronik; Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur; Kesihatan; Pendidikan; Pertanian; dan Greater Kuala Lumpur/Klang Valley.

18. Terdapat asas yang kukuh mengapa 12 NKEA tersebut dipilih sebagai bidang utama ekonomi negara. 12 NKEA ini akan menyumbang sebanyak 73 peratus daripada jumlah Pendapatan Negara Kasar (GNI) yang diperlukan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. 12 NKEA ini jugalah yang akan menjadi jentera pertumbuhan yang akan memacu ekonomi negara terus ke hadapan.

19. Keputusan terperinci daripada bengkel 1,000 orang serta makmal yang melibatkan 500 peserta terkandung di dalam Buku Program Transformasi Ekonomi (atau ETP) yang akan menggariskan hala tuju bagi ekonomi Negara Malaysia dalam sepuluh tahun yang akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

20. Apa yang bakal kita lakukan sekarang tidak pernah kita lakukan sebelum ini. Biar saya huraikan enam perkara yang membezakan ETP daripada mana-mana pelan pembangunan yang terdahulu.

21. Pertamanya, ETP ialah satu program, dan bukan satu pelan. Perbezaan yang ketara di sini ialah program mengandungi projek spesifik dan tindakan khusus siap dengan tempoh masa, pemilik projek dan pengukuran prestasinya. Program ini mengandungi 131 Projek Permulaan atau Entry Point Projects (EPP), 12 laporan makmal, 60 Peluang Perniagaan, kesemuanya bertujuan untuk mewujudkan 3.3 juta pekerjaan tambahan. Program ini telah pun mula membuahkan hasil awal.

22. Kedua, ETP berasaskan kepada Pendapatan Negara Kasar atau lebih dikenali sebagai GNI. Matlamat kita adalah untuk mencapai 15,000 dolar Amerika GNI per kapita pada 2020 dan ETP menyediakan hala tuju yang jelas. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, 131 EPP dan 60 peluang perniagaan akan masing-masing menjana GNI tambahan sebanyak $138 bilion dolar Amerika dan $112 bilion dolar Amerika. Apabila disatukan dengan pertumbuhan organik hasil daripada NKEA dan bukan NKEA, jumlah GNI pada 2020 dianggarkan akan mencapai $523 bilion dolar Amerika.

23. Ketiga, ETP dibentuk bersama dengan sektor swasta mengikut satu pendekatan yang terbuka dan telus, di mana ianya adalah mesra pasaran dan berdasarkan merit dan keperluan. Bagi memperkukuhkan ketelusan dan mengambil kira pandangan rakyat, butiran dan program ETP telah dipamerkan dan perbincangan diadakan bersama lebih 13,000 rakyat menerusi Hari Terbuka. Hala tuju ETP boleh didapati dengan mudah oleh rakyat, dan di mana kontrak kerajaan diberi, kita akan menyiarkannya di dalam laman web kerajaan.

24. Keempat, ETP akan mengubah peranan kerajaan daripada pembiaya kewangan kepada pemudah cara untuk mengurangkan pembelanjaan sektor awam. Satu berita baik ialah 92 peratus daripada pelaburan untuk ETP adalah dari sektor swasta. 73 peratus dari jumlah pelaburan swasta ini akan disumbangkan daripada pelaburan terus domestic (DDI). Ingatlah, ekonomi Negara bergantung besar kepada pelabur asing dan domestik.

25. Kelima, ETP ini bersifat inklusif dan adalah untuk semua rakyat Malaysia. Maksud saya di sini ialah setiap rakyat Malaysia akan dapat merasai, walau sedikit mana sekalipun, impak positif hasil daripada pelaksanaan projek-projek di bawah ETP.

26. Secara keseluruhan, kesemua 131 EPP merentasi seluruh pelosok negara. 68 EPP akan memanfaatkan negeri Sawarak sementara 71 EPP akan memberi manfaat kepada negeri Sabah. 106 EPP akan membawa manfaat kepada komuniti bandar sementara 25 EPP akan memberi manfaat terus kepada masyarakat luar bandar. Ini secara amnya adalah selaras dengan nisbah penduduk bandar dan luar bandar negara ini.

27. Khususnya untuk masyarakat luar bandar, EPP dijangka akan mewujudkan 323,596 pekerjaan baru pada tahun 2020. Ia juga akan memberi manfaat kepada pemilik Tanah Adat Pribumi, khususnya di Sarawak dan Sabah.

28. Tidak lupa juga ingin saya nyatakan hasrat saya supaya ETP ini dapat juga mendapat manfaat daripada tenaga kerja wanita. Hanya 3.95 juta daripada 8.66 juta wanita berumur di antara 15 hingga 64 tahun kini bekerja. Wanita adalah nadi pembangunan negara dan kita mesti membabitkan mereka dalam tenaga kerja.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

29. Jelaslah di sini bahawa ETP ini bakal merangkumi segenap lapisan masyarakat. Kesan hasil pembangunan kelak akan dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia, tanpa sesiapapun yang tercicir daripada arus pencapaian ekonomi Negara.

30. Justeru itu, saya ingin mengetengahkan beberapa contoh EPP yang terdapat di dalam buku ETP ini, sama ada yang besar mahupun yang kecil. Daripada 131 EPP, saya akan mengutarakan enam contoh utama.

31. Program TUKAR atau Transformasi Kedai Runcit di bawah NKEA Pemborongan and Peruncitan akan memodenkan serta membantu 50,000 peruncit kecil untuk meningkatkan daya saing mereka dalam era peruncitan moden. Ini adalah satu contoh projek yang akan membantu perusahaan kecil dan sederhana. Impak kepada GNI pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM 5.5 billion dan akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 51,544.

32. Di bawah NKEA Pertanian, Projek Zon Akuakultur Berintegrasi dengan saiz minimum 1,000 hektar untuk mengeluarkan produk akuakultur premium yang bermutu bagi pasaran eksport, akan dilaksanakan di beberapa lokasi di seluruh negara. Kita telah mengenalpasti lokasi tertentu dengan skala besar seperti di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak. Projek ini adalah khusus untuk penduduk luar Bandar. Impak kepada GNI pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM 1.2 billion dan akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 11,890.

33. Bagi membangunkan pelancongan kesihatan di Malaysia, 35 buah hospital di Malaysia telah dikenal pasti di bawah NKEA Kesihatan. Impak kepada GNI pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM 4.2 billion dan akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 5,295.

Tuan-tuan dan puan-puan,

34. Pada tahun 2009, pendapatan daripada industri pelancongan mencecah RM53.4 bilion. Bagi memperkasakan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan berunsur Asia yang menarik, satu Pusat Malaysia Truly Asia akan diwujudkan di Kuala Lumpur untuk menempatkan kebudayaan dan hiburan terbaik Malaysia. Ini merupakan sebahagian daripada NKEA Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.  Impak kepada GNI pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM 233 juta dan akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 1,700.

35. Di bawah NKEA yang sama, saya sudahpun mengumumkan projek MRT. Landasan MRT sepanjang 140km yang menghubungkan pelbagai tempat di Kuala Lumpur akan dibina untuk mencergaskan Kuala Lumpur melalui kesan berganda ekonomi serta menjadikan Kuala Lumpur salah satu bandaraya yang paling selesa untuk diduduki di dunia. Ini akan menambahbaik pengangkutan awam bandar memandangkan kita menjangka penduduk di Greater Kuala Lumpur/Lembah Kelang akan meningkat dari enam juta ke 10 juta orang pada tahun 2020. Impak kepada GNI pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM 21.2 billion dan akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 20,000.

36. Sebuah pusat pendidikan berintegrasi penuh sebesar 305-ekar yang mengandungi universiti, institusi penyelidikan dan pembangunan, dan kemudahan pendidikan lain akan memberi rangsangan seterusnya kepada initiatif Educity@Iskandar di bawah NKEA Pendidikan. Impak kepada GNI pada tahun 2020 adalah dianggarkan sebanyak RM 1.0 billion dan akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 1,164.

37. Terdapat banyak lagi Projek Permulaan di bawah hala tuju ETP. Untuk memastikan maklumat penting ini mudah difahami dan diterima oleh semua lapisan masyarakat, terdapat tiga versi hala tuju ETP ini: buku 605 muka surat bagi mereka yang rajin membaca, ringkasan eksekutif 55 muka surat untuk yang kurang gemar membaca dan bagi yang langsung tiada masa untuk membaca, kita juga sediakan sebuah klip video yang mengambil masa selama enam minit.

Tuan-tuan dan puan-puan,

38. EPP yang telah dikenalpasti hanya merupakan projek-projek awal yang telah dirangka untuk memangkinkan pelaksanaan ETP. Lebih banyak projek akan dikenalpasti oleh pihak swasta dan akan dikategorikan didalam ETP. Terdapat banyak bantuan-bantuan kerajaan yang telah pun disediakan melalui pelbagai agensi. Kerajaan akan tetap membantu sekiranya kemudahan pembiayaan awam ini memangkinkan sumbangan GNI dan pewujudan peluang pekerjaan.

39. Dalam erti kata lain, ianya memberi manfaat kepada semua rakyat, yakni ia tidak hanya berkisar kepada projek besar / mega project semata-mata. Proses pelaksanaan baru bermula. Di bawah Bajet 2011, RM6.0 bilion telah diperuntukkan oleh pihak Kerajaan untuk memangkinkan pelaksanaan EPP. Ini adalah sebahagian daripada lapan peratus pembiayaan awam yang akan merangsang 92 peratus pelaburan sektor swasta.

40. Seterusnya, unsur Keenam yang ingin saya tekankan dalam ETP ini adalah pewujudan pekerjaan baru dengan gaji yang lebih tinggi. Sejumlah 3.3 juta pekerjaan baru akan diwujudkan pada tahun 2020, di mana 63 peratus akan berada di dalam segmen pendapatan sederhana dan tinggi berbanding dengan 43 peratus yang sedia ada. 46 peratus daripada jumlah 3.3 juta pekerjaan yang akan diwujudkan akan memerlukan kelulusan vokasional dan diploma. Oleh yang demikian, adalah dijangka 600,000 orang akan terkeluar daripada segmen pendapatan terendah. Justeru itu, 40 peratus penduduk terbawah Malaysia akan menikmati tahap pendapatan yang lebih tinggi.

41. Tambahan pula, kita telah mewujudkan Talent Corporation untuk mengekal dan menarik bakat terbaik untuk Malaysia. Kalau dahulu kita mengatakan “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”; kini dengan adanya pelan ETP, insya-Allah kita akan pastikan bumi Malaysia ini dihujani emas perak gangsa yang melimpah ruah bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

42. Itulah ke semua enam ciri unik ETP yang saya telah huraikan sebentar tadi. Pokok persoalan pada hari ini, adakah sektor swasta telah bersedia dan komited untuk merangsangkan ekonomi di bawah ETP?

43. Berdasarkan pemantauan Kerajaan, hampir 45 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak US$97 bilion yang diwakili 53 EPP, kini berada dalam beberapa tahap perbincangan aktif.

44. Di sini, sukacita ingin saya huraikan beberapa projek EPP yang telah pun bermula di mana acara menandatangani perjanjian akan diadakan selepas ini.

45. Pertama, sebuah syarikat dari Negara Jerman, LFoundry, akan menempatkan dan melabur dalam lima loji Fabrikasi Wafer di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah, dalam tempoh lima tahun akan datang. Pelaburan permulaan bernilai RM214 juta sementara jumlah pelaburan keseluruhan dijangka mencecah RM1.9 bilion. Ini akan merangsang industri Elektrikal and Elektronik di Malaysia.

46. Kedua, MYDIN, pengusaha besar tempatan dalam bidang pemborongan dan peruncitan telah bersetuju untuk melabur dalam 14 cawangan baru dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan bernilai RM1 bilion. MYDIN juga telah bersetuju untuk membantu pengusaha kecil kedai runcit melalui Projek TUKAR.

47. Ketiga, sebuah hotel 208 bilik dan kediaman 160 unit akan dibina di atas 2.2 ekar tanah di KL Sentral. Hotel dan kediaman ini akan diuruskan oleh St. Regis, satu jenama antarabangsa dalam bidang hospitaliti bertaraf enam bintang.  Pelaburan sebanyak RM1.2 billion ini akan mempunyai jumlah kawasan pembangunan sebanyak 1.4 juta kaki persegi.

48. Keempat, Schlumberger, syarikat terkemuka dalam bidang perkhidmatan medan minyak, baru-baru ini telah membuka satu hab perkhidmatan mereka, Eastern Hemisphere Global Financial Services Hub, di Bandar Utama. Ini adalah sebahagian daripada EPP untuk Greater KL/Klang Valley bagi menarik 100 syarikat multinasional untuk menempatkan operasi mereka di Kuala Lumpur menjelang 2020.

49. Kelima, Malaysia Airports Holdings Berhad telah memberi konsesi 25 tahun kepada WCT untuk membina dan mengoperasi kompleks integrasi di KLIA2.  Kompleks dengan kos sebanyak RM486 juta itu akan mengandungi hab pengangkutan untuk teksi dan bas serta satu blok kawasan membeli-belah dan kawasan letak kereta.

50. Keenam, syarikat pelaburan yang berasal dari Timur Tengah, iaitu Mubadala, akan bekerjasama dengan 1MDB untuk membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur, yang bernilai RM26 bilion, di atas 34 hektar tanah berdekatan Jalan Tun Razak.

51. Ketujuh, Premium Renewable Energy Sdn Bhd akan membina lima loji minyak bio dalam tempoh lima tahun akan datang. Loji pertama dengan kos RM124 juta akan ditempatkan di Lahad Datu, Sabah.

52. Kelapan, Asia e-University telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Universiti Gateway untuk pembangunan pembelajaran dalam talian and jarak jauh antarabangsa. Inisiatif ini dijangka akan menghasilkan GNI sebanyak US$110 juta.

53. Kesembilan, syarikat Genting Berhad akan membina Johor Premium Outlets di Genting Indah pura, yang bakal merangkumi hotel, tempat rekreasi air antarabangsa dan pusat membeli besar. Ini seterusnya akan menarik banyak lagi pelancong asing datang ke Johor terutamanya dari Singapura. Kos pembinaan dan pelaburan yang dibiayai oleh Genting adalah sebanyak RM150 juta.

Tuan-tuan dan puan-puan,

54. Kesemua projek-projek ini menunjukkan bahawa ETP telah pun mula menunjukkan hasil dan pencapaian permulaan yang positif. Kerajaan akan mengumumkan lebih banyak lagi pelaburan baru dalam masa yang terdekat ini.

55. Kita telah buktikan kepada mereka yang mencurigai ETP. Projek yang telah bermula menunjukkan bahawa sekiranya kita memberi fokus kepada tindakan (action) dan mengelakkan daripada omong kosong serta perdebatan dan perbalahan yang merugikan, hasil pasti akan tercapai. Ini adalah selari dengan Gagasan 1Malaysia – Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

56. Dalam pada itu, satu unsur yang cukup penting dalam pelaksanaan ETP adalah pewujudan satu struktur tadbir urus yang jelas dan tersusun. Tanpa adanya struktur tadbir urus sebegini, kita tidak mampu memperoleh hasil yang kita inginkan.

57. Bagi pihak saya sendiri, saya akan memberikan komitmen peribadi saya untuk memastikan agar setiap Menteri yang bertanggungjawab akan memantau pencapaian EPP dan pelaburannya, dan ini dijadikan sebahagian daripada pengukuran prestasi (atau KPI) mereka. Malah, saya telah pun mengadakan dua sesi penilaian prestasi Menteri dan proses penilaian ini akan diteruskan setiap enam bulan.

58. Selain daripada mesyuarat Kabinet, saya juga mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Ekonomi di mana setiap kemajuan ETP akan dapat dipantau secara lebih dekat. Kerajaan juga akan memastikan agar semua penjawat awam dan semua mereka yang terlibat akan menyokong keperluan sektor swasta.

59. Kita akan memastikan agar setiap projek besar dijalankan secara terbuka dan telus. Untuk memastikan perkara ini berlaku, Kerajaan akan menggunakan proses tender terbuka sebagai proses asas atau default. Hanya dalam keadaan terkecuali, kita akan mengadakan tender terhad atau rundingan terus.

Tuan-tuan dan puan-puan,

60. Tidak lama lagi Kerajaan juga akan menguatkuasakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat atau Whistleblower Protection Act sebagai satu pencegah terhadap rasuah. Akta Perlindungan Pemberi Maklumat ini telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan pihak kerajaan sedang mengemaskini prosedur pengendalian di peringkat pelaksanaan. Saya berharap ini akan meningkatkan rasa tanggungjawab rakyat untuk memberanikan diri untuk melaporkan salah laku rasuah tanpa rasa takut.

61. Sehingga kini rakyat telah pun memberi maklum balas yang positif terhadap ETP.pada Hari Terbuka ETP di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada bulan September dan Oktober.

62. Mengikut skor purata (weighted average score), 75 peratus percaya yang ETP adalah program yang berdaya maju untuk mentransformasikan negara.

63. Di samping itu, 71 peratus bersetuju dan yakin bahawa ETP akan mewujudkan struktur ekonomi yang seimbang dan mampan.

64. Akhir sekali, 73 peratus percaya bahawa ETP akan membuka jalan bagi Malaysia menjadi sebuah Negara yang berpendapatan tinggi menjelang 2020.

65. Saya sedar bahawa dalam setiap haluan transformasi, akan ada pihak minoriti yang merasa ragu dan tidak yakin dengan hasil dan pencapaian yang bakal diperolehi dari program tersebut. Biasanya golongan ini lebih lantang daripada golongan majoriti yang yakin, namun kebanyakan daripada golongan majoriti ini lazimnya mengambil sikap berdiam diri.

66. Saya sendiri sebagai Perdana Menteri sebenarnya telah mengambil risiko dengan memperincikan secara nyata target dan objektif dalam dokumen hala tuju yang panjang lebar ini. Ini menunjukkan Kerajaan adalah telus dan bersedia untuk memenuhi janji kepada rakyat. Sesungguhnya, penerbitan dokumen hala tuju yang sebegini terperinci merupakan satu bukti keyakinan saya terhadap dengan kebolehan setiap rakyat Malaysia – sama ada yang bekerja di sektor swasta mahupun sektor awam – untuk sama-sama berganding bahu dalam menjayakan program ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

67. Sebagai Perdana Menteri, saya sedari bahawa rakyat Malaysia sebenarnya merupakan satu bangsa yang bercita-cita tinggi dan berjiwa besar. Kita telah berjaya mengangkat martabat kita, dari sebuah Negara kecil yang miskin, hinggalah menjadi sebuah Negara membangun yang dicontohi serta dikagumi serata dunia.

68. Namun sebagai rakyat Malaysia, kita perlu terus berusaha dan tidak berpeluk tubuh. Kita yakin dan percaya bahawa kita seharusnya berdiri sama tinggi dengan mana-mana Negara di persada dunia. Kita merasakan bahawa kita juga layak dan sepatutnya berada di saf hadapan dalam arena dunia, bukan sekadar menjadi makmum dalam saf yang terkebelakang.

69. Sepuluh hari yang lalu, saya membentangkan Bajet 2011. Hari ini, dengan pelancaran Program Transformasi Ekonomi, Kerajaan dengan jelas dan tegas membuktikan bahawa masa depan yang cerah bagi Negara kita bukanlah mimpi atau dongeng semata-mata. Pelan Hala Tuju ETP ini bukanlah satu penyataan hasrat yang kabur, tetapi adalah satu peta panduan yang cukup jelas dan tersusun, yang bakal menjulang martabat Negara di mata dunia.

70. Maka dengan itu, saya ingin menyeru segenap rakyat Malaysia, yakinlah bahawa masanya telah tiba untuk melenyapkan rasa ragu dan curiga. Usah kita terus bergelut dengan percakapan dan perbalahan kosong. Hentikanlah suara-suara sumbang dan senyuman-senyuman sinis yang menyempitkan hati dan mematikan azam.

71. Sebaliknya, marilah kita sama-sama merapatkan saf dan membulatkan niat kita untuk meluaskan jalan menuju kejayaan. Bak kata orang lama, dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Dengan itu, marilah kita sama-sama melayari bahtera merdeka menuju aspirasi Negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Roadmap Program Transformasi Ekonomi.

Sekian,

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment