Wednesday, 18 January 2012

jom kenal hadis maudu' (palsu)

Dalam banyak2 sumber internet yang saya baca, saya rasa yang ni paling lengkap menerangkan tentang hadis maudu' or palsu. sekarang ni ramai  sangat orang yang bukan ahli, mengeluarkan kenyataan tentang hadis, memang la orang awam akan percaya dan taqlid, mereka percaya bukan disebabkan mereka ada ilmu, tapi  disebabkan populariti seseorang penceramah tu, biarpun penceramah tu cakap betul or x, mereka orang awam bukannya tahu, so main sedap mulut la penceramah nak cakap apa, biar pun benda tu salah. dah jelas dalam hadis mengatakan sesiapa yang berbohong keatas Nabi SAW maka nerakalah tempatnya.

Rasulallah s.a.w. bersabda:

(Barangsiapa berdusta terhadapku, maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka) (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Ibnu Majah.)


disini saya lampirkan apa itu hadis maudu'.


Hadith Maudu'

Sejelek-jelek dan seburuk-buruk Hadith ialah Hadith Maudhu’. Iaitu Hadith palsu atau yang didustakan kepada Rasulullah s.a.w. baik mengenai ucapannya, perbuatannya maupun perakuannya. Hadith dikenal sebagai Maudhu’ kerana pengakuan pembuatnya sendiri ataupun kerana orang yang berkenaan sangat terkenal dustanya dan ianya pembuat Hadith palsu. Para ulama telah mengenal pasti dan telah menyenaraikan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus nama orang-orang pembohong dan pembuat Hadith Maudhu’; maka Hadith-hadith yang diterima dan mereka dinamakan Hadith Maudhu’, kecuali apabila ada mutabi’ atau syahidnya dari riwayat perawi lain yang kepercayaan (thiqah).

Pembuatan Hadith palsu ini bermula setelah Rasulullah saw. meninggal dunia dan berlakunya pertentangan politik, kemudian ia berkembang melalui perkembangan arus politik, ashabiah, fanatik mazhab dan lain-lain. Ia dilakukan oleh orang-orang Islam sendiri yang lemah imannya dan juga oleh orang-orang munafiqin dan kafir zindik. Pada dasarnya faktor-faktor yang mendorong lahirnya Hadith Maudhu’ itu adalah seperti berikut:

1. Politik:
Setelah Rasulullah wafat timbullah perpecahan di kalangan umat Islam kerana perbezaan pendapat mengenai jabatan Khilafah, siapakah yang lebih berhak menjabat jabatan yang sangat penting itu. Golongan Jumhur melantik Abu Bakar r.a. manakala pengikut-pengikut Ali r.a. dengan tegas menyatakan bahawa Alilah yang lebih berhak memegang jawatan itu kerana dialah yang lebih layak dan lebih utama dari orang-orang lain, lagipun hal ini telah diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sebelum wafatnya, kata mereka. Melantik orang lain menjadi Khalifah bererti merampas hak Ali yang sah, kata mereka lagi. Bagi menguatkan hujjah-hujjah itu dibuatlah beberapa banyak Hadith yang menyatakan keutamaan Ali bin Abu Thalib itu.

Antaranya ialah:
(a) Barangsiapa ingin melihat Adam tentang ketinggian ilmunya, ingin melihat Nuh tentang taqwanya, ingin melihat Ibrahim tentang kebaikan hatinya, ingin melihat Musa tentang kehebatannya dan ingin melihat Isa tentang ibadatnya, maka hendaklah Ia melihat kepada ‘Ali.

(cool.gif Apabila kamu melihat Mu ‘awiah di atas mimbarku, maka bunuhlah akan dia.

Golongan Jumhur pula tidak ketinggalan membuat Hadith-hadith palsu untuk mempertahankan kedudukan mereka. Di antaranya ialah:

© Tidak ada satu pohon pun dalam Syurga kecuali tertulis atas tiap-tiap daunnya “Tiada Tuhan melainkan Allah subhanahu wa ta'aala dan Muhammad itu pesuruh Allah subhanahu wa ta'aala”, Abu Bakar ash-Shiddiq, Umar al-Faruq dan Uthman Zun-Nuraini.


2.Ashabiah:
Islam menentang sama sekali fanatik Ashabiah dan telah menyatukan manusia di bawah runtuhan Ashabiah itu dengan iman dan ukhuwwah. Semua manusia adalah sama dan tidak ada yang lebih utama daripada yang lain melainkan dengan taqwanya kepada Allah subhanahu wa ta'aala. Setelah wafat Rasul, maka penyakit Ashabiah jahiliah itu timbul kembali. Mula-mula antara golongan Anshar dan Muhajirin, kemudian antara qabilah Amawiah dan Hasyimiah dan Abbasiah, kemudian antara bangsa Arab dan bangsa Farsi.

Golongan yang fanatik kepada qabilah Umayyah antaranya membuat Hadith:

(a) Orang-orang yang kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril dan Mu’awiah.

Golongan yang fanatik kepada golongan Hasyimiah dan Abbasiah membuat Hadith-hadith, antaranya:
(Akulah kota ilmu dan Ali adalah pintunya).

(Abbas itu ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli warisku).

Golongan fanatik Arab membuat Hadith-hadith Maudhu’ antaranya:

(Bahawasanya Allah subhanahu wa ta'aala itu apabila Ia rela Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Arab dan apabila Ia murka Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Farsi).

Manakala golongan fanatik kebangsaan Farsi pula membuat Hadith-hadith antaranya:

(Bahawasanya Allah subhanahu wa ta'aala itu apabila Ia rela Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Farsi dan apabila Ia murka Ia menurunkan wahyu dengan bahasa Arab).

3. Fanatik Mazhab
Perbezaan pendapat mengenai hukum-hukum fiqh akhirnya menimbulkan fanatik mazhab yang membabi buta sehingga mereka sanggup membuat hadith-hadith palsu.

Golongan yang fanatik kepada mazhab Hanafi membuat Hadith-hadith antaranya:

(Akan ada seorang laki-laki di dalam umatku yang dipanggil Abu Hanifah anNu’man bin Thabit, dia adalah suluh, umatku)

Golongan yang fanatik kepada mazhab asy-Syafi’e membuat Hadith:

(cool.gif (Aku (Muhammad) berimam kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan (Bismillah)


Golongan yang fanatik kepada ulama’ al-Kalam yang menyatakan al-Quran itu Qadim membuat Hadith:

© (Barangsiapa yang mengatakan bahawa al-Quran itu baharu maka sesungguhnya kafirlah Ia)

Orang-orang yang fanatik kepada mazhab Hanafi pula membuat Hadith:

(a) (Barangsiapa yang mengangkat kedua tangannya, maka tiadalah solat baginya).

Dan golongan yang memusuhi Asy-Syafi’e pula membuat Hadith:

(cool.gif (Akan ada dalam umatku seorang laki-laki yang bernama Muhammad bin Idris, dia lebih berbahaya ke atas umatku daripada iblis).
Dan lain-lain lagi.


4. Golongan Zindiq dan Munafiq’:
Banyak pula orang-orang yang memeluk Islam secara pura-pura, kerana takut, kerana mengikut orang ramai atau kerana sesuatu kepentingan duniawi. Golongan ini, terutamanya para zindiq dan munafiq memusuhi Islam secara senyap-senyap dari dalam, lalu mereka berusaha merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak Hadith-hadith palsu. Golongan ini dikatakan telah membuat empat belas ribu Hadith palsu. Abdul-Karim bin al-Auja’ sahaja telah mengaku membuat empat ribu Hadith mengenai halal dan haram.

Di antara Hadith-hadith yang mereka buat ialah:
(a) Aku (Muhammad) adalah penyudah segala Nabi tiada Nabi lagi sesudahku, kecuali jika dikehendaki Allah subhanahu wa ta'aala)

(cool.gif Bahasawanya Allah subhanahu wa ta'aala tatkala Ia menjadikan huruf-huruf, bersujudlah huruf “Ba” dan tegak berdirilah huruf “Alif".

© Melihat kepada muka yang cantik itu adalah satu ibadat.

(d) Bahasawanya Allah subhanahu wa ta'aala itu tatkala hendak menciptakan diri-Nya Ia menciptakan kuda dan memacu kuda itu, lalu kuda itu berpeluh, maka Ia pun menciptakan diri Nya daripadanya.

(e) Bahasawanya Allah subhanahu wa ta'aala mengadu sakit matanya, maka para Malaikat pun lalu melawatnya.

(f) Allah subhanahu wa ta'aala Tabaraka wa Ta’ala menciptakan para Malaikat dari rambut dua lengannya dan bulu dadanya ataupun dari cahaya bulu lengan dan bulu dadanya.

(g) Tuhan kita turun pada petang hari Arafah di atas seekor unta berwarna kelabu. Ia berjabat tangan dengan penunggang-penunggang dan berpeluk-pelukan dengan orang-orang yang berjalan kaki.

5. Ahli-ahli Bid’ah:
Ada golongan sesat yang berpendapat, bahawa Hadith-hadith boleh dibuat untuk menarik orang ke arah ibadat. Menurut mereka dusta kerana kebaikan adalah boleh. Oleh kerana itu golongan al-Karamiah (Pengikut Muhammad bin Karram asSajistani) membuat Hadith-hadith mengenai targhib dan tarhib dan FadhailulAkmal. Nuh bin Abi Maryam dan Ghulam al-Ghalil membuat Hadith-hadith mengenai keutamaan sunah-sunah al-Quran. Dengan demikian, maka banyaklah tersebar dalam masyarakat Islam Hadith-hadith mengenai keutamaan amal dan lahirlah banyak amalan-amalan yang bid’ah, yang sama sekali tidak berasal dari Sunnah Rasulullah s.a.w. di antaranya ialah:

(Tiada seorangpun yang berpuasa pada hari Khamis awal bulan Rajab (solat Raghaaib) di antara ‘Isya dan 1/3 awal malam dua belas rakaat, ia memisahkan antara tiap-tiap dua rakaat dengan satu salam, ia membaca Fatihah sekali pada tiap-tiap rakaat: Inna Anzalnahu Fi Lailatil Qadr tiga kali dan Qul Huwallahu Ahad 12 kali, maka demi Allah subhanahu wa ta'aala yang diriku ini di dalam tangannya, tiada seorangpun yang mengerjakan solat ini melainkan Allah subhanahu wa ta'aala mengampuni semua dosanya walaupun sebanyak buih di laut, walaupun sebilangan pasir, walaupun seberat timbangan gunung-ganang dan dedaun pokok, dan ia akan memberi syafa’at pada hari Qiamat kepada 700 ahli rumahnya yang telah diwajibkan masuk Neraka)

6. Golongan Sufi Yang Keliru/Sesat:
Golongan sufi ini banyak terlibat dengan pembuatan dan mengamalkan Hadith-hadith palsu, antara lain ialah:

Hadith-hadith mengenai keutamaan surah-surah Al-Quran satu persatu yang diriwayatkan dari Ubai bin Ka’ab.

Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya. Kata beliau: “Aku telah diriwayatkan Hadith ini oleh seorang Syeikh, lalu aku bertanya: Siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Syeikh itu menjawab: Seorang laki-laki di Madain, ia masih hidup. Aku pergi menemui laki-laki itu lalu bertanya: Siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Orang itu menjawab: Saya telah diberitahu oleh seorang Syeikh di Wasith: Aku pergi menemuinya dan berkata: Siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Ia menjawab: Seorang Syeikh di Abadan. Saya pergi menemui Syeikh itu bersama-sama dengan Syeikh dari Bashrah tadi. Ia memegang tanganku lalu membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba-tiba aku dapati kaum Sufi yang berada dalam rumah itu dan bersama-sama mereka ada seorang Syeikh mereka. Saya bertanya: siapakah yang meriwayatkan Hadith ini kepada anda? Syeikh itu menjawab: Tiada sesiapapun yang meriwayatkan Hadith itu kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh dari Al-Quran lantas kami buatlah Hadith ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka kepada Al-Quran”.

7. Ulama’ As-Su’:
Di antara ulama’ ada yang dinamakan ulama’ As-Su’ iaitu ulama duniawi yang menjual agama dengan dunia dengan harga yang murah, suka menjilat penguasa lalu memutarbelitkan kebenaran dengan membuat Hadith-hadith kerana kepentingan dunia, untuk mendekatkan diri dengan para penguasa.

Ghiath bin Ibrahim An-Nakha’ie Al-Kufi pada satu hari datang berkunjung ke istana Al-Mahdi. Di kala itu Al-Mahdi sedang bermain burung dara (merpati) kerana beliau sangat suka dengan burung-burung merpati itu. Maka berkatalah Ghiath:

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada pertaruhan melainkan pada anak panah, unta atau kuda, atau burung.

Hadith yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi tambahan perkataan “ataupun burung” itu adalah perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek alMahdi. Al-Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Dan setelah Ghiath pergi, maka Al-Mahdi berkata: Aku naik saksi atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta terhadap Rasul. Dan kemudian ia berkata pula: Akulah yang mendorongnya berbuat demikian. Al-Mahdi kemudian menyuruh supaya burung merpati itu disembelih.

Diriwayatkan pula, bahawa Abu al-Bakhtari (Qadhi) datang mengunjungi ar-Rasyid di kala ar-Rasyid sedang menerbangkan burung merpati. Ia berkata kepada ar-Rasyid: Adakah tuan menghafal sesuatu mengenai ini? Lalu iapun meriwayatkan sebuah Hadith:

Bahawasanya Nabi s.a.w. adalah suka menerbangkan burung merpati.

Ar-Rasyid mengerti bahawa Abu Al-Bakhtari telah melakukan dusta terhadap Nabi lalu ia diherdiknya dan berkata: Jika bukanlah engkau ini dari golongan Quraisy tentulah aku melucutkan jawatan engkau.

8. Tukang-tukang Cenita:
Pendongeng-pendongeng atau penglipur lara banyak mencipta Hadith-hadith palsu yang mengandungi kisah-kisah yang aneh ajaib untuk menarik perhatian orang.

Diriwayatkan, bahawa Imam Ahmad dan Ibnu Ma’in bersolat di masjid Rasafah. Setelah selesai solat bangunlah seorang tukang cerita di tengah-tengah orang ramai lalu bercerita: Kami diberitakan oleh Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berkata: Kami diberitakan oleh Abdur-Razaq dari Ma’mar dari Qatadah dari Anas katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barangsiapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallah nescaya Allah subhanahu wa ta'aala menjadikan dari tiap-tiap kalimah seekor burung. Paruhnya dari emas dan bulunya dari marjan (bunga batu karang). Kemudian orang itu terus bercerita kira-kira dua puluh halaman kertas. Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in saling berpandangan. Ahmad bertanya Ibnu Ma’in: Engkaukah yang menceritakan Hadith itu kepadanya? Ibnu Ma’in menjawab: Demi Allah subhanahu wa ta'aala, baru sekarang inilah saya mendengarnya. Setelah selesai orang itu bercerita, maka Ibnu Ma’in memberi isyarat kepadanya lalu ia datang kepada Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Ma’in. Berkata Ibnu Ma’in: Siapakah yang memberitakan Hadith itu kepadamu? Orang itu menjawab: Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in. Ibnu Ma’in berkata: Sayalah Ibnu Ma’in dan ini adalah Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar sama sekali Hadith itu dari Rasulullah s.a.w. Orang itu menjawab: Saya selalu dengar bahawa Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in adalah orang bebal, baru sekarang inilah saya dapat mempastikannya. Yahya bertanya: Mengapa demikian? Ia menjawab: Seakan-akan di dunia ini tidak ada Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in selain kamu berdua. Sesungguhnya Hadith ini telah ditulis dari tujuh belas orang yang bernama Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in (Al-Maudhu'at, 1, hal. 46)

Di antaranya pula ialah:

(Sesungguhnya bahtera Nabi Nuh telah bertawaf tujuh hari di Baitullah dan bersolat dua raka’at di Maqam Ibrahim)

9. Orang-orang Yang Mencari Rezeki
Bagi melariskan barang-barang jualan atau menarik orang kepada sumber rezekinya banyaklah pula Hadith-hadith palsu yang dibuat orang. Antaranya ialah:

Saya mengadu kepada Jibril kerana tidak kuat bersetubuh, maka ia menyuruhku supaya memakan bubur Harisah.

Dan seperti:
Mu’az bin Jabal berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. adakah anda didatangi makanan dan syurga? Beliau bersabda: Ya, aku didatangkan harisah dari syurga lalu aku memakannya maka Ia menambahkan kekuatanku bagaikan kekuatan empat puluh orang dan menambahkan jimak-ku seperti jimak empat puluh orang.

Dan termasuk ke dalam golongan ini ialah Hadith-hadith palsu yang dibuat orang untuk melariskan doa’-doa’ seperti doa’ ‘Ukkasyah, doa’ Kanzul-’Arasy, doa’ Nisfu Sya’ban, doa’ bulan Rajab, doa’ awal tahun, doa’ akhir tahun dan lain-lain lagi. Hadith-hadith serupa itu terdapat dalam risalah-risalah mengenai doa’ seperti doa’ ‘Ukkasyah yang dicetak bersama-sama surah Yaa Sin, Majmu’ Syarif yang mencampur-adukkan antara surah-surah Al-Quran dengan Hadith-hadith palsu itu. Risalah-risalah ini ada dalam semua masjid, surau dan rumah-rumah orang-orang Islam sejak zaman berzaman lagi.

Banyak buku-buku agama yang beraliran sufi, kisah-kisah para Nabi, Tafsir Al-Quran, kitab-kitab mengenai Targhib dan Tarhib yang memuatkan Hadith-hadith maudhu’ itu. Di antara kitab-kitab tersebut yang dikenalpasti oleh para ulama Hadith banyak mengandungi Hadith-hadith maudhu’ itu antara lain ialah:

(1) Qashashul-Anbia’ karangan Ath-Tha’labi.
(2) Kitab-kitab karangan Al-Hakim At-Tirmizi
(3) Durnatun-Nashihin oleh Al-Khubawi
(4) Kitab-kitab Abu Jamrah
(5) Kitab-kitab karangan Al-Waqidi
(6) Washaya Imam ‘Ali r.a.
(7) Tanbihul-Ghafilin dan Qurnatul-’Uyun wa Mufarrihul Qalbil-Mahzun karangan Aba Al-Laith As-Samarqandi
(Kitab Tafsir Ibnu Abbas dari riwayat Al-Kalbi, As-Suddi dan Muqatil
(9) Nuzhatul-Majalis wa Muntakhab’in-Nafais karangan As-Safari
(10) Al-Arba’un Al-Wud’aniah
(11) Kitab Al-’Arus oleh Abu Al-Fadhl Ja’far bin Muhammad bin Ali
(12) Kitab Fadhlul-Ilmi oleh Syarafuddin Al-Balkhi
(13) Kitab mengenai keutamaan akal, dan lain-lain lagi.


10. Orang-orang Yang Mencari Nama:
Keghairahan mencari nama kemasyhuran sebagai perawi Hadith yang banyak meriwayatkan Hadith mendorong orang membuat Hadith-hadith palsu tanpa menghiraukan akibat apa yang akan menimpa Islam dan umatnya.

TOKOH-TOKOH PEMBUAT HADITH PALSU:

Al-Imam Al-Hafiz Ibnul-Jauzi mengatakan bahawa pembuat-pembuat Hadith palsu itu ramai jumlahnya, di antara tokoh-tokohnya yang utama ialah:
(1) Wahab bin Wahab, Al-Qadhi, Abu Al-Bakhtari Al-Qurasyi.
(2) Muhammad bin As-Saaib Al-Kalbi.
(3) Muhammad bin Sa’id Asy-Syami Al-Mashlub
(4) Aba Daud An-Nakha’iy
(5) Ishaq bin Najih Al-Malathi
(6) Giath bin Ibrahim An-Nakha’iy
(7) Al-Mughirah bin Sa’id Al-Kufi
(8 ) Ahmad bin Abdullah Al-Jawaibari
(9) Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi
(10) Muhammad bin ‘Ukkasyah Al-Karmani
(11) Muhammad bin Al-Qasim Ath-Thaikani
(12) Muhammad bin Ziad Al-Yaskari
(13) Aaban bin Ja’far An-Numaiqi yang telah membuat ribuan Hadith untuk kepentingan golongan Karamiah
(14) Ibrahim bin Zaid Al-Aslami
(15) Jabir bin Zaid Al-Ju’fi. Ia membuat kira-kira tiga puluh ribu Hadith.
(16) Nuh bin Abi Maryam yang telah membuat Hadith-hadith palsu mengenai keutamaan-keutamaan Al-Quran dan surah-surah Al-Quran.
(17) Abdul-Karim bin Abi Al-Auja’ yang membuat empat ribu Hadith mengenai halal dan haram.
(18 ) Maisarah bin Abdu Rabbih yang telah membuat beberapa Hadith mengenai keutamaan-keutamaan Al-Quran dan tujuh puluh Hadith mengenai keutamaan Ali bin Abu Thalib
(19) Al-Harith bin Abdallah Al-A’war
(20) Muqatil bin Salaiman Al-Balkhi
(21) Ibnu Abi Yahya
(22) Abdul-Quddus bin Habib Al-Kalai’y
(23) Sulaiman bin ‘Isa bin Najih
(24) Muhammad bin Harun bin ‘Isa Al-Hasyimi yang dipanggil dengan nama Ibnu Buryah
(25) Muhammad bin Ibrahim Asy-Syami
(26) Yahya bin Al-’Ala’
(27) Abdal-Ghafur bin Sa’id Al-Wasithi
(28 ) ‘Ishmah bin Muhammad Al-Anshari
(29) Muhammad bin Yunus Al-Kadaimi
(30) Yahya bin ‘Anbasah
Dan ramai lagi yang lain-lainnya.

Al-Imam An-Nasai berkata: “Para pembohong yang masyhur membuat Hadith ialah empat orang: Ibnu Abi Yahya di Madinah, Al-Waqidi di Baghdad, Muqatil bin Sulaiman di Khurasan dan Muhammad bin Sa’id Al-Mashlub di Syam!”

Para ahli mengatakan, bahawa Al-Juwaibari, Ibnu ‘Ukkasyah dan Muhammad bin Tamim Al-Faryabi masing-masing telah membuat sepuluh ribu Hadith Maudhu’. Para zindiq dikatakan telah membuat Hadith-hadith yang banyak. Sebahagian dari firqah mereka sahaja telah membuat lebih kurang empat belas ribu Hadith. Tatkala Ibnu Abi Al-Auja’ ditangkap dan hendak dipenggal lehernya ia telah berkata: Aku telah membuat di antara kamu empat ribu Hadith yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.


CIRI-CIRI HADITH MAUDHU’:
Hadith-hadith Maudhu’ itu dapat dikenali pada sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-cirinya yang utama ialah:

1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat Hadith itu sendiri. Umpamanya seperti yang diakui sendiri oleh Abdul-Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdu Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.

2. Perawinya terkenal pembohong, sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang kepercayaan.

3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta) sejarah.
Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah Hadith dari seorang guru yang menurut kenyataan ia tidak pernah menemui guru itu atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu meninggal dunia ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tensebut.

Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar Hadith dari Hisyam bin ‘Amman kekanda kepada Ibnu Hibban, maka Ibnu Hibbah bertanya:
Bilakah engkau ke kota Syam? Ma’mun menjawab: Pada tahun 250H. Mendengar itu Ibnu Hibban berkata: Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.

Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan mendengar Hadith-hadith Nabi dari Nabi saw. atau dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w. padahal mereka hidup ratusan tahun setelah Nabi s.a.w. dan para sahabat meninggal dunia.

4. Motif Apakah Yang Mendorong Membuat Hadith Palsu Itu:
Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu yang mendorong orang membuat Hadith-hadith palsu itu, seperti politik, fanatik golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana mencari rezeki atau sebagainya.

Contoh-contohnya:
a) Bubur Harisah itu akan menguatkan belakang

Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk melariskan buburnya itu.

cool.gif Aku beriman kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan.

Hadith ini dibuat untuk mempertahankan pendapat dalam mazhab asySyafi’e yang mengatakan Bismillah adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras dalam solat Jahriah.

Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai ciri-ciri Hadith Maudhu’ pada sanadnya. Selain itu Hadith Maudhu’ dapat diketahui melalui matannya, iaitu:
1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan janggal
2. Kerosakan maknanya:

(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil seperti Hadith:

Bahawasanya bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama tujuh hari dan bersolat dua rakaat di Maqam Ibrahim.

(cool.gif Berlawanan dengan hukum akal mengenai Allah subhanahu wa ta'aala. Akal menetapkan bahawa Allah subhanahu wa ta'aala suci dari menyerupai makhluk, seperti Hadith:

Bahawasanya Allah subhanahu wa ta'aala menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia menciptakan dirinya dari kuda itu.

Dan seperti Hadith:

Allah subhanahu wa ta'aala mengadu sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya.

© Berlawanan dengan ilmu kedoktoran. Seperti Hadith:
Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit.

(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima akal. Seperti Hadith:

Ayam putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril.

(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu. Seperti:

Bahawasanya Qaf itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di atasnya.

Dan seperti:

Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu.

Al-Imam Ar-Razi berkata:

Semua Hadith yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa itu adalah Hadith Maudhu’.

(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang qathi’i dan tidak pula dapat dita’wilkan. Umpamanya Hadith:

Anak Zina tidak akan memasukki Syurga sampai tujuh keturunan.

Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran:
Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. (Al-An'am: 64)

(g) Menyalahi Hadith Mutawatir. Seperti Hadith:

Apabila diriwayatkan kepada kamu sebuah Hadith yang sesuai dengan kebenaran, maka ambillah dia sama ada aku mengkhabarkannya ataupun tidak.

Hadith ini bertentangan dengan Hadith Mutawatir:
Barangsiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka. (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)

(h) Menyalahi qaedah umum yang diambil dari al-Quran dan Sunnah. Umpamanya Hadith:

Barangsiapa yang dilahirkan untuknya seorang bayi laki-laki lalu diberi nama Muhammad, maka dia dan anaknya di dalam Syurga.

Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan semata-mata kerana nama atau gelaran belaka.

(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang sudah terkenal pada zaman Nabi s.a.w. Umpama Hadith yang menerangkan bahawa Nabi s.a.w. memberatkan jizyah atas penduduk-penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad dan dituliskan oleh Abu Sufian, pada hal menurut riwayat yang benar bahawa jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru dikenakan sesudah peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan Khandak dan Abu Sufian memeluk Islam setelah pembukaan kota Mekah.

(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab yang dipegang oleh perawinya dan ia pula terlalu sangat fanatik kepada mazhabnya. Misalnya Hadith. Kata Ali:

Aku menyembah Allah subhanahu wa ta'aala bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia disembah oleh seseorang dari umat ini lima tahun atau tujuh tahun.

Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.

(k) Hadith yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil. Misalnya:

Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina seribu jami’ (masjid).

Contoh lain:

Barangsiapa mengucapkan Laa iaha Illallah, maka Allah subhanahu wa ta'aala menjadikan untuknya seekor burung yang mempunyai tujuh puluh ribu lidah dan bagi tiap-tiap lidah tujuh puluh ribu bahasa yang mereka beristighfar dengannya untuknya.

Dan pula seperti Hadith:
Barangsiapa bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala tujuh puluh orang Nabi.

(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil. Umpamanya:
Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, mala hendaklah Ia masuk Neraka selama tujuh puluh tahun.

(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan agama yang kalau ada semestinya diriwayatkan oleh orang ramai.

Demikianlah ciri-ciri Hadith Maudhu’ itu, dan dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith Maudhu’ dapat dikenal dengan mudah.

Ar-Rabi’ mengatakan:
Bahasawanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti malam, kita mengetahuinya dengan gelap itu.

Perkataan ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith Palsu itu terlalu sangat jelas dan terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia bagaikan malam dengan siang. Dan al-Imam Ibnul-Jauzi pula berkata:
Hadith Mungkar, yakni Hadith Maudhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan kebiasaannya tidak diterima oleh hati.

CARA-CARA MEMBUAT HADITH PALSU:
Ada tiga cara orang membuat Hadith Maudhu’:
1. Membuat Hadith dengan lafaz sendiri dan dengan fikiran sendiri. Umpamanya:

Cintakan tanahair sebahagian dari iman.

Hadith ini dibuat oleh orang-orang yang fanatik kepada kebangsaan dan yang mengajak orang ke arah kebangsaan hingga lahir slogan-slogan; Turki untuk orang Turki, Mesir untuk orang Mesir dan sebagainya.

2. Dengan mengambil perkataan as-Salafus-Soleh, hukama’ atau tabib lalu dibangsakan kepada Nabi s.a.w. Umpamanya:
Cintakan dunia adalah punca segala kesalahan.

Menurut Al-’Iraqi perkataan ini berasal dari perkataan Malik bin Dinar seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya. Al-Baihaqi mengatakan perkataan ini adalah berasal dari perkataan ‘Isa bin Maryam. Dan menurut Ibnu Taimiah pula, ia adalah berasal dari perkataan Jundub bin Abdullah al-Bajali.

Dan seperti:

Perut besar itu adalah rumah penyakit dan berpantang itu adalah kepala segala ubat.

Perkataan ini adalah perkataan seorang tabib Arab yang terkenal iaitu al-Harith bin Kaldah.

Dan seperti juga:

(Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka kenallah dia akan Tuhannya)

Perkataan ini adalah perkataan hukama’, lalu dibangsakan kepada Nabi s.a.w.

Dan juga seperti:

(dan apa-apa yang dipandang bagus/baik oleh orang-orang Islam maka baguslah/baiklah ia di sisi Allah subhanahu wa ta'aala dan apa-apa yang dipandang jelek oleh orang-orang Islam maka jeleklah ia di sisi Allah subhanahu wa ta'aala)

Perkataan ini adalah perkataan Abdullah bin Mas’ud r.a. lalu dikatakan bahawa Rasalullah s.a.w. bersabda demikian.


3. Perawi mengambil sebuah Hadith yang dha’if sanadnya lalu dibuatnya sanad lain yang shahih supaya Hadith yang dha’if itu kelihatan shahih.


USAHA PARA ULAMA’ MEMBASMI DAN MENCEGAH HADITH MAUDHU’:

Dan keterangan yang lalu jelaslah sebab-sebab yang mendorong pemalsuan Hadith, golongan mana yang terlibat dengan pemalsuan itu dan cara bagaimana pemalsaan dilakukan. Dan permulaan zaman pemalsuan itu berlaku selepas tahun 40H setelah berlakunya perselisihan dan perpecahan di kalangan umat sehingga melibatkan pembunuhan beberapa orang Khalifah. Gerakan-gerakan dari luar dan dalam mengobarkan api perpecahan itu, maka timbullah pemalsuan Hadith dan tersebarlah ia di kalangan umat. Punca utama perpecahan dan pemalsuan Hadith itu ialah perebutan kuasa politik antara golongan Jumhur dan pengikut-pengikut ‘Ali bin Abi Thalib r.a. yang merasa bahawa ‘Alilah yang lebih berhak menjadi Khalifah bagi menggantikan Rasul s.a.w. yang telah wafat. Bagi menguatkan hujah dan untuk menarik sokongan umat, maka pemalsuan Hadith pun bermula. Sebab-sebab perpecahan itu kemudian bertambah dengan lahirnya unsur-unsur ashabiah, fanatik kepada mazhab yang menyebabkan dorongan pemalsuan Hadith itu bertambah.

Perbuatan keji itu tidak dibiarkan bermaharajalela begitu sahaja, maka bangunlah para ulama untuk menentang arus pemalsuan itu melalui pelbagai cara, iaitu:

1. Memberi Sanad Hadith:

Sebelum berlakunya pemalsuan Hadith para sahabat saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Mereka saling menerima Hadith Rasulullah dengan penuh kepercayaan. Demikian pula para Tabi’in tidak meragukan Hadith yang diterimanya dari sahabat. Akan tetapi setelah timbulnya fitnah dan pemalsuan Hadith, maka Hadith-hadith itu tidak diterima begitu sahaja, malah diselidiki dahalu jalan datangnya Hadith itu (sanadnya) dan keadilan perawinya. Jika syarat-syarat itu tidak dipenuhi, maka sesebuah Hadith ditolak.

Ibnu Sirin berkata: “Para sahabat dan Tabi’in tidak menanyakan tentang sanad Hadith, tetapi di kala terjadinya fitnah mereka pun dikala menerima Hadith bertanya: Siapakah yang memberikan Hadith itu? Sesudah diketahui sanad lalu diperiksalah pula apakah sanad itu terdiri dari ahlus-Sunnah? Jika benar diterimalah Hadith itu. Kalau perawinya dari golongan ahli bid’ah, maka Hadith tersebut ditolak”

Abdullah bin al-Mubarak berkata:
(Memberi sanad Hadith adalah sebahagian dari urusan agama, tanpa isnad tentulah siapa sahaja dapat mengatakan apa yang dikehendakinya)

Dan al-Hafiz Ibnush-Shalah pula berkata:

(Jika tidaklah sempurna perhatian golongon ahli-ahli Hadith dalam menghafaz isnad maka tentulah telah lenyap mercusuar Islam)

Dengan usaha para ulama mengisnadkan Hadith-hadith itu, maka kesucian Hadith dapat dipertahankan. Semua para perawi ditelanjangi latar belakang peribadinya dar semua seginya. Dari soal yang sebesar-besarnya sampailah kepada soal-soal kecil. Mereka tidak segan-segan mengkritik dan mengecam para perawi yang tidak kepercayaan dan memberitahu kepada umum mana-mana perawi yang kepercayaan dan mana-mana pula perawi yang tidak kepercayaan; dusta, pembuat Hadith, tertuduh dusta, sangat lemah, lemah dan sebagainya. Bagi maksud tersebut mereka telah membuat peraturan-peraturan yang menerangkan mana perawi yang dapat diterima riwayatnya dan mana pula yang ditolak. Dengan demikian lahirlah banyak cabang-cabang ilmu Hadith seperti ilmu Musthalah Hadith, Ilmu Rijalu-Hadith, Ilmu Al-jarhu wat-Ta’dil dan lain-lain ilmu yang bersangkutan.

2. Mengkategorikan Hadith-hadith

Para ulama telah menetapkan peraturan-peraturan yang membezakan antara Hadith-hadith Mutawatir dan Aahad, dan membahagikan Hadith-hadith Aahad kepada Shahih, Hasan dan Dha’if berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Dan selanjutnya Hadith-hadith Dha’if dibahagikan kepada beberapa jenisnya mengikut banyak ataupun sedikit cacat cela yang terdapat pada sanadnya, dan akhirnya mereka telah menetapkan ciri-ciri yang khusus mengenai Hadith Maudhu’. Semua Hadith dikumpalkan dalam kitab-kitabnya yang khusus, sehingga mudah diruju’ oleh siapa sahaja yang berhajat.

Khusus mengenai Hadith-hadith Maudhu’ dan yang sebangsa dengannya para ulama telah memberikan perhatian yang khusus dan akhirnya atas jasa-jasa mereka lahirlah buku-buku yang khusus mengenai Hadith-hadith Maudhu’ ini dan Hadith-hadith yang sebangsa dengannya. Di antara tokoh-tokoh ulama yang terlibat dengan pengkajian ini ialah:

1. Abul-Fadhl Muhammad bin Thahir, Al-Maqdisi, wafat tahun 507H. (Al-Tazkirah Fi Ghara'ib al-Ahadith Wa Munkiraatiha)

2. Umar bin Badr al-Mushili, wafat tahun 543H. (Al-Ghina Anil Hifzi Wal Kitab Al-Aqidah al-Shahihah Fil Maudhu'aat al-Sharihah)

3. Al-Husain bin Ibrahim Al-Juzqani, wafat tahun 543H. (Ma'rifatul Wuquf Alal Mauquf al-Abathil)

4. Abul-Faraj, Abdur-Rahman bin Ali, Ibnul-Jauzi, wafat tahun 597H. (Al-Maudhu'aat)

5. Abu Al-Fadhl, Hasan bin Muhammad Ash-Shaghani, Al-Lughawi, wafat tahun 650H. Beliau mempunyai dua buah risalah mengenai ini. Salah satunya: (Al-Durr al-Multaqath Fi Tabyinil Ghalath Wa Nafyil Galath)

6. Taqiyyuddin, Ibnu Taimiah, Wafat tahun 724H. (Risaalatun Fil Ahadith al-Maudhu'aat)

7. Abu Abdullah, Muhammad bin Abu Bakar, Ibnul-Qayyim Al-Juziah, wafat tahun 751H. (Al-Manaf)

8. Jalaluddin, Abdur-Rahman As-Suyuthi, wafat tahun 942H. (Al-la Ali'u al-Mashnu'ah Fil Ahadith al-Maudhu'ah, al-Wajiz dan al-Ta'aqubat)

9. Muhammad bin Yusuf bin Ali Asy-Syami, wafat tahun 942H. (Al-Fawa'id al-Majmu'ah Fi Bayanil Ahadith al-Maudhu'ah)

10. Ali bin Muhammad bin ‘Iraqy, wafat tahun 963H. (Tanzih al-Syariah al-Marfu'ah Anil Akhbar al-Syani'ah al-Maudhu'ah)

11. Muhammad bin Thahir al-Fattani, Al-Hindi, wafat tahun 986H. (Tazkiratul Maudhu'aat)

12. Muhammad bin Muhammad Ath-Tharablusi, wafat tahun 1177H. (Kasyful Ilahi An Syadidil Dha'fi Wal Maudhu'I Wal Wahi)

13. Mulla Ali Al-Qari, wafat tahun 10l4H. (Tazkiratul Maudhu'aat/al-Mashnu' Fil al-Hadith al-Maudhu')

14. Muhammad bin Ahmad bin Salim As-Safaraini, Al-Hanbali, wafat tahun 1188H. (Ad-Durarul Mashnu'aat Fil Ahadith al-Maudhu'aat)

15. Muhammad bin Ali bin Muhammad, Asy-Syaukani, wafat tahun 1250H. (Al-Fawa'dul Majmu'ah Fil Ahadith al-Maudhu'ah)

16. Abu Al-Mahasin, Muhammad bin Khalil al-Qauqaji, wafat tahun 1305H. (Al-Lu'lu' al-Marshu')

17. Abdul-Hayyi bin Abdul-Halim, Al-Lakhnawi, wafat tahun 1304H. (Al-Athar al-Marfu'ah Fil Ahadith al-Maudhu'ah)

18. Muhammad al-Basyir, Zafir al-Azhari, wafat tahun 1325H. (Tahzirul Muslimin Minal Ahadith al-Maudhu'ah Ala Saiyidil Mursalin)

Dan lain-lain lagi, seperti As-Sakhawi dengan bukunya: (AL-Maqasidul hasanah Fil Ahadith ad-Da'irah Alal Alsinah)

Dan lain-lain lagi.

Pada zaman moden ini pengkajian-pengkajian mengenai Hadith-hadith Maudhu’ dan sebagainya masih dilakukan oleh para ulama, di antaranya ialah:

Silsilatul-Ahadith Adh-Dha’ifati wal-Maudh’uah oleh Al-Muhaddith Asy-Syeikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani. Dan lain-lain lagi. Dengan usaha dan perjuangan gigih dari para ulama Hadith itu, maka pusaka suci peninggalan Rasulullah s.a.w. yang sangat berharga itu dapat dipertahankan keasliannya dan dapat pula diperbezakan di antara kaca dan permata.

HUKUM MEMBUAT, MENYEBAR DAN MENGAMALKAN HADITH MAUDHU’

Telah ijmak para ulama bahawa Hadith Maudhu’ sama sekali tidak boleh digunakan dalam semua perkara duniawi dan ukhrawi. Pembuat Hadith Maudhu’, penyebarnya dan penghayatannya secara sedar adalah salah satu dari dosa-dosa besar (Al-Kabaair), tetapi orang yang berbuat demikian tidaklah menjadi kafir kecuali apabila ia menghalalkan perbuatan dusta itu. Demikian pendapat Jumhur ulama. Seorang ulama dalam mazhab Asy-Syafi’ey, iaitu Al-Imam Abu Muhammad Al-Juwaini bapa kepada imam Al-Haramain mengkafirkan orang yang sengaja berdusta terhadap Rasulullah s.a.w. walaupun ia tidak menghalalkan perbuatan dusta itu.

Pendapat ini mungkin didasarkan kepada firman Allah subhanahu wa ta'aala S.W.T.:

(Sesungguhnya yang mengada-gadakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-oyat Allah subhanahu wa ta'aala dan merekalah pembohong-pembohong) (Al-QuranulKarim, surah An-Nahli, ayat 105.)

Ayat ini dengan tegas menafikan iman terhadap orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah subhanahu wa ta'aala, dan berdusta terhadap Rasulullah saw. bererti berdusta terhadap Allah subhanahu wa ta'aala. Hadith-hadith yang Shahih, bahkan Mutawatir mengecam keras Orang-orang yang berbohong terhadap Rasalullah s.a.w. itu.

1. Rasulallah s.a.w. bersabda:

(Barangsiapa berdusta terhadapku, maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka) (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Ibnu Majah.)

2. Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Barangsiapa dengan sengaja berdusta terhadapku, maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka) (Hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ahmad, Ad-Darimi dan Ibnu Majah.)

3. Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Barangsiapa berkata ke atasku apa yang aku tidak mengatakannya, maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka) (Hadith riwayat Muslim)

4. Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Bahawasanya berdusta ke atasku tidak serupa dengan kedustaan ke atas seseorang yang lain, maka barangsiapa yang dengan sengaja berdusta terhadapku, bersedialah ia mengambil tempatnya dari neraka) (Hadith riwayat Muslim.)

5. Dalam riwayat lain Rasulullah s.a.w. bersabda:

(Barangsiapa berdusta terhadapku, maka dibinakan untuknya sebuah rumah dalam Neraka Jahannam) (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim.)


6. Dalam riwayat lain Rasulallah s.a.w. bersabda:

(Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka) (Hadith riwayat Az-Zahabi dalam Al-Kabair.)

Dan lain-lain Hadith lagi yang diriwayatkan dari banyak jalan dan dari ramai para sahabat sehingga para ulama menegaskan bahawa Hadith ini adalah Hadith Mutawatir. Pendapat Al-Juwaini ini disepakati oleh Al-Imam Nashiruddin Ahmad bin Muhammad bin Al-Munair Al-Maliki dan ulama-ulama lain dari mazhab Hanbali dan disepakati pula oleh Al-Imam Az-Zahabi jika kebohongan itu dibuat dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan halal dan haram.

Zahabi menyebutkan firman Allah subhanahu wa ta'aala:

(Dan pada hari Qiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah subhanahu wa ta'aala, muka-muka mereka hitam) (Al-Quranul-Karim, surah Az-Zumar, ayat 60.)

Dan kemudian menyebutkan pula pendapat Al-Imam Al-Hafiz Ibnul-Jauzi yang berkata dalam tafsirnya: “Sebahagian para ulama berpendapat bahawa berdusta kepada Allah subhanahu wa ta'aala dan kepada Rasul-Nya adalah kufur yang memindahkan seseorang dari agama (murtad), dan tiada syak lagi bahawa berdusta terhadap Allah subhanahu wa ta'aala dan Rasul-Nya dalam mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram adalah sama sekali kufur, hanya perkara (yang diperselisihkan) ialah mengenai pembohongan ke atas Rasul dalam perkara-perkara selain itu”. (Al-Kabaair halaman 76.)

Menyebarkan dan mengamalkan Hadith Maudhu’ secara sedar adalah termasuk pula dalam ancaman Rasulullah s.a.w.
Sabdanya:

(Barangsiapa yang meriwayatkan sebuah Hadith dariku yang dipandang sebagai dusta, maka termasuklah ia sebagai salah seorang pembohong) (Hadis riwayat Muslim.)

Kebanyakan para ulama dan imam Hadith menghukum orang yang meriwayatkan Hadith Maudhu’ tanpa memberitahu akan maudhu’nya dan tidak memberi amaran kepada manusia mengenai Hadith maudhu’ itu dengan hukuman ta’zir yang keras.

Al-’Abbas As-Sarrah berkata: “Aku melihat Muhammad bin Ismail AlBukhari sewaktu diberikan kepadanya sebuah kitab dari Ibnu Karram yang bertanya antara lain mengenai Hadith riwayat Az-Zuhri, dari Salim, dari ayahnya yang dirafa’kan (diangkatkan) kepada Nabi saw.:

(Bahawasanya iman itu tidak bertambah dan tidak berkurang)


Maka beliau menulis di atas kulit kitab itu: “Barangsiapa meriwayatkan Hadith ini, maka wajiblah baginya pukulan yang keras dan tahanan yang lama”.

Bahkan ada ulama yang menghukum lebih keras lagi iaitu menghalalkan darahnya. Yahya bin Ma’in dikala disebutkan kepadanya Hadith Suwaid Al-Anbari:

(Barangsiapa bercinta, ia menjaga dirinya (dari kejahatan) dan ia menyembunyikannya, kemudian ia mati, maka matinya adalah mati syahid)

Maka beliau berkata: Dia adalah halal darahnya (Al-Israiliat wal-Maudhu’at Ii Kutubit-Tafsir, halaman 29.)

Dalam riwayat lain dikatakan bahawa tatkala Ibnu Ma’in mendengar Suwaid bin Sa’id meriwayatkan Hadith di atas beliau berkata: Jika aku dapati perisai dan pedang pastilah aku perangi Sawaid Al-Anbari! (Al-Mizan 2/3621/438-441)

Dan dalam riwayat lain beliau berkata: Jika aku mempunyai kuda dan pedang tentulah aku peranginya. (Silsilatul-Ahadith Adh-Dha’ifati wal-Maudhu’ati 1/403)

CARA-CARA MEMBASMI PENYEBARAN
HADITH MAUDHU’

Dalam bab yang lalu telah diterangkan secara ringkas mengenai sejarah pemalsuan dan penyebaran Hadith-hadith Maudhu’, sebab-sebab yang mendorongnya dan bagaimana pula caranya para ulama’ mujahid berjuang memerangi dan membasmikan pemalsuan Hadith itu. Perkara-perkara asas telah dipersiapkan oleh mereka untuk orang-orang yang kemudian, maka kewajipan kita selanjutnya ialah menyambung dan melanjutkan perjuangan mereka itu untuk memerangi dan membasmikan saki-baki penyebaran dan penggunaan Hadith-hadith Maudhu’ itu dalam masyarakat kita. Usaha-usaha ini wajib dilakukan kerana dia adalah tugas suci sepanjang zaman.

Khusus bagi masyarakat kita, penulis berpendapat bahawa penyebaran Hadith-hadith Maudhu’ itu atau Hadith-hadith yang sebangsa dengannya berlaku kerana kejahilan umat, kealpaan para ulama’ dan Ulul-Amri serta sikap taqlid buta di kalangan guru-guru agama kepada buku-buku atau guru-guru yang tertentu sehingga mereka menerima dan menyampaikan apa sahaja yang didengar ataupun yang tertulis tanpa membuat sebarang pertimbangan. Dan tidak kurang pula guru-guru agama yang terlalu sangat kurang pengetahuannya mengenai seluk-beluk alHadith sehingga menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara Hadith atau bukan Hadith, asal dikatakan Hadith diterima dia dengan patuh. Waiau apapun sebab yang benlaku, yang pastinya ialah penyebaran dan penggunaan Hadith-hadith Maudhu’ itu wajib dicegah dan dibasmikan sampai ke akar-akarnya. Penulis berpendapat pencegahan dan pembasmian penyebaran Hadith-hadith Maudhu’ itu dapat dilakukan dengan cara-cara yang berikut mengikut keutamaannya:

1. Menyebarkan kepada orang ramai Hadith-hadith yang sah dari Rasulullah s.a.w. berserta terjemahannya kerana kebanyakan orang ramai buta dengan al-Hadith disebabkan buku-buku yang berkenaan kebanyakannya dalam bahasa Arab.

2. Menyebarkan kepada orang ramai risalah-risalah mengenai Hadith-hadith Maudhu’ dan bahayanya kepada iman dan Islam.

3. Mengadakan majlis-majiis penerangan dan khutbah-khutbah Jum’at yang khusus mengenai keburukan-keburukan Hadith Maudhu’ tersebut dari semasa ke semasa.

4. Mengadakan kursus-kursus kepada guru-guru agama, mubaligh-mubaligh, imam-imam dan lain-lain petugas agama mengenai seluk-beluk Hadith dengan memberikan tekanan khusus kepada hadith-hadith Maudhu’ dan yang sebangsa dengannya.

5. Mempastikan khutbah-khutbah Jumaat yang dibacakan pada tiap-tiap Jumaat oleh para khatib/imam bebas dari Hadith-hadith Maudhu’ ataupun Hadith-hadith lain yang tidak halal.

6. Mempastikan buku-buku yang dijadikan buku teks di sekolah-sekolah, pondok-pondok, masjid-masjid, surau-surau dan sebagainya bersih dari Hadith-hadith Maudhu’ atau yang sebangsa dengannya dan juga Hadith-hadith lain yang tidak halal.

7. Membuat kajian terhadap buku-buku lama dan baharu yang tersebar dalam masyarakat bagi mempastikan bahawa buku-buku tersebut bebas dari Hadith-hadith yang tidak halal itu.

8. Mengadakan seminar-seminar mengenai ulumul-Hadith dengan menjemput tokoh-tokoh utama dari luar negeri.

9. Mengharamkan buka-buku yang mengandungi banyak Hadith-hadith yang tidak halal itu.

10. Memperluaskan dan meningkatkan pengajian-pengajian Ulumul-Hadith di pondok-pondok, masjid-masjid dan sebagainya.

11. Mengenakan hukuman Ta’zir yang keras terhadap orang-orang yang menyebarkan baik secara lisan ataupun tulisan akan Hadith-hadith yang tidak halal itu.

12. Dan lain-lain cara yang dipandang sesuai dan berkesan.

Pihak yang berkuasa di negeri ini sewajibnya meletakkan kewajipan membasmi penyebaran dan penggunaan Hadith-hadith yang tidak halal ini sebagai Perkara yang utama serupa dengan kewajipan melaksanakan Syari’at Islam dalam masyarakat dan membasmi ajaran-ajaran sesat lainnya jika kita ingin melihat umat Islam terpelihara dari kesesatan, dan agama Islam bersih dari segala khurafat dan bid'ah seperti yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Bahkan usaha membasmi ajaran sesat itu tidak akan berhasil jika usaha pembasmian Hadith-hadith palsu ini tidak dijalankan kerana kebatilan dan kesesatan itu kebanyakannya berpunca dari sini. Tugas ini memang berat tetapi dia adalah satu jihad fi sabilillah yang wajib dilaksanakan juga.


Wallahu'lam.

sumber : 
1) Petikan himpunan Kitab Himpunan HAdith dhaif dan maudu'.Karya: Drs Abdul Ghani Azmi bin Hj Idris


::. اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ .::




--» ۞ بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ۞ «--





Disaat aku Meminta,
Aku tak ingin meminta kau memilihku
melainkan,



Aku akan meminta pada Robbi
agar DIA memilihmu
untuk_ku....



Maka, biarkan ku memilih
menyandarkan Cinta ini
pada Sang Pemilik Cinta..... 



(¯`•.•´¯)
*`•.¸(¯`•.•´¯)¸.•´
¤ º° ¤`•.¸.•´ ¤ °º
•*´¯) ¸.•*´¯)¤¤*¨*ღ☆ღ*♥*ღ☆ღ.*¤.¸¸.¸¸.¤* (/(◕‿◕)\)











source: 
http://www.facebook.com/photo.php?fbid=280604568651358&set=a.280603331984815.71578.271643999547415&type=3&theater